Thursday, October 23, 2008

Transkrip penuh ucapan TGDSHAHA pada 15 Oktober 2008


Dikirim pada Oktober 16, 2008 oleh editor
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]:

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera. Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat, seluruh pegawai kerajaan dan para pemerhati, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk sama-sama ikut serta dalam perbahasan Belanjawan Bajet Tahun 2009, satu perkara yang penting dan menjadi perhatian di seluruh negara. Insya-Allah saya akan tumpukan kepada perkara prinsip dan konsep serta akan menyebut contoh-contoh yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dan penekanan supaya pihak kerajaan dapat menunaikan tanggungjawab dengan tepat dan berjaya dan kita sama-sama bertanggungjawab di dalam menunaikan amanah memimpin negara.
Bukan sahaja kerajaan termasuk pembangkang kerana sebarang kesan daripada kegagalan akan menimpa semua. Faedah kejayaan akan dapat kepada semua. Kita tidak dapat menafikan bahawa ketika belanjawan dibentangkan, kita menghadapi situasi krisis ekonomi dunia yang gawat dan menjadi ancaman besar kepada negara walaupun ada pemimpin-pemimpin kerajaan membuat kenyataan seolah-olah kita tidak ada apa-apa kesan kerana ekonomi kita kukuh dan kuat.
Namun demikian, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapannya menyatakan bahawa supaya kita berjaga-jaga kerana akan menerima kesan dan tempiasnya. Ini kerana kita Malaysia berada di dalam dunia, bukan di angkasa lepas. Apa yang berlaku di dalam dunia, kita akan menerima kesan-kesannya kecuali kita sebuah negeri yang duduknya di angkasa lepas.
Negara akan menghadapi cabaran besar apabila bajet dibentangkan dalam suasana krisis ekonomi. Bermula daripada sebab krisis harga minyak dan diikuti dengan krisis kewanganKeadaan ini sudah tentu mewajibkan kerajaan supaya lebih berhati-hati sama ada dalam mengkaji semula dasar yang lemah dan polisi yang masih dibebani oleh unsur-unsur negatif yang boleh menggagalkan perancangan yang diatur dengan sebegitu rupa.
Kita tidak dapat menafikan walaupun kerajaan tidak bersedia untuk membaiki atau membentang semula bajet ini. Walau apa pun, kerajaan hendaklah bersedia dan menangani masalah-masalah yang akan berlaku. Sudah tentu kita akan membincangkan semula peruntukan-peruntukan tambahan yang akan menjadi bebanan yang besar kepada negara.
Sebenarnya apa yang berlaku ketika menghadapi kesan keruntuhan sistem liberal kapitalisme barat setelah di abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan komunisme yang menghancur leburkan negara besar Soviet Union. Sehingga negara-negara komunis terpaksa melakukan reformasi yang mengubah dasar dan polisi daripada ajaran komunisme yang sebenarnya walaupun selama ini mereka memaksa negara-negara lain supaya mengikut mereka.
Berlakunya peperangan dan pemberontakan yang mengorbankan berjuta-juta manusia termasuk di Negara kita ini pun kerana mahu menegakkan teori komunisme, tiba-tiba ternyata agak meleset.
Hari ini kita melihat tanda-tanda jelas dan besar, kegagalan liberal kapitalisme ditunjukkan oleh sendiri oleh Amerika yang menjadi ‘Ah Long’ kepada dunia yang rakus dan memaksa negara-negara dunia supaya mengikut cara-cara, amalan-amalan dan polisi mereka dan menyerang negara-negara yang tertentu untuk kepentingan ekonomi mereka walaupun mengorbankan ratusan ribu dan berjuta rakyat.
Pada hari ini, kita melihat ‘Ah Long’ gergasi itu sedang menunjukkan tanda-tanda untuk tersungkur. Walau apa pun, kita wajib mengambil iktibar dan pelajaran daripada peristiwa lamadan baru. Kepada umat Islam yang membaca Al-Quran, Al-Quran memaparkan sejarah kuasakuasa besar dunia yang terdahulu. Punca kejatuhannya ialah kerana kezaliman, kejahatan dan penyelewengan walau bagaimana kaya dan kuat sekalipun kuasa-kuasa besar itu. Kaum Aad, kaum Samud, kaum Luth, kaum Firaun dan kaum-kaum yang lain.
[Membaca sepotong ayat Al-Quran]. “Adakah kamu tidak lihat, tidak faham, tidak mengerti apa yang telah berlaku kepada kaum Aad, kaum Samud, kaum Firaun? Begitulah kaum-kaum yang lain yang hebat tamadunnya. Bangunan-bangunan yang hebat, tinggi mencakar langit, tiang-tiang yang besar menggunakan tiang-tiang balak batu, bukan balak kayu. Semuanya musnah bila berlakunya penyelewengan kejahatan sama ada aqidah, politik, ekonomi, akhlak dan lain-lain”.
Semuanya itu sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua, termasuk kerajaan yang memerintah, kita hendaklah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Keruntuhan liberal kapitalisme menunjukkan kebebasan yang mencetuskan perlumbaan dan persaingan yang diuaruarkan boleh memajukan ekonomi tetapi mengikut hawa nafsu tanpa batas.
Berlakunya penindasan dan membawa keruntuhan kepada diri sendiri. Di antara aspek penting yang menjadi amalan mereka ialah riba yang menjadi dosa besar di dalam ajaran Islam. Riba ada dua aspek yang menjadi kebanggaan ekonomi barat dan itulah yang meruntuhkan ekonomi itu sebenarnya.
Allah Taala telah menyatakan, “[Membaca sepotong ayat al-Quran]”. “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan riba itu, tidaklah mereka bangun daripada kubur mereka bila mereka dibangkitkan, mereka bangun laksana orang gila yang dirasuk oleh syaitan.” Mereka berlagak macam syaitan dalam kehidupan dunia ini, dengan kerakusan untuk mengejar kemajuan ekonomi tanpa mengira orang lain. Mereka berkata riba macam jual beli juga, padahal Allah mengharamkan riba dan menghalalkan jual beli.
Pernah berlaku Bank Bumiputra yang tinggal nama, barang kali generasi yang akan datang akan lupa nama Bank Bumiputera ini. Hilangnya nama Bank Bumiputera dan terpaksa bertongkat dengan bank lain digabung, dihilangkan namanya tidak lain da tidak bukan kerana pinjaman-pinjaman yang berasaskan riba yang dianggap boleh membawa keuntungan, akhirnya terlalu ramai tidak bayar.
Yang pinjam ialah pemimpin-pemimpin, orang-orang kenamaan. Inilah yang berlaku dalam ekonomi Amerika. Didedahkan sejak tahun 60-an lagi. Belanjawan Amerika mengalami defisit yang begitu parah. Pada zaman Johnson 1964 hingga 1968 ialah USD44.8 bilion; zaman Nixon1969 hingga 1974 ialah USD70 bilion; zaman Ford USD1.79 bilion; zaman Carter USD226.9 bilion; zaman Regan USD1.3 trilion; zaman Bush, USD 1.4 trilion; dan selepasnya 3.7trilion; dan trilion, trilion lagi.
Kerajaan boleh menyediakan wang dengan banyak trilion, kalau tak cukup pinjam dengan bank. Bukan sahaja kerajaan pinjam, tokoh-tokoh kerajaan pun pinjam, kroni-kroni dia pinjam, akhirnya kewangan menjadi merudum. Ini yang berlaku, yang kita perlu mengambil iktibar.Oleh kerana itu, saya mengalu-alukan pihak kerajaan yang meneruskan usaha perbankan Islam dan muamalah Islam tetapi ianya hendaklah dilakukan dengan cara yang bersungguhsungguh, menggalakkan mudarabah, qirat, Al- QardhulHasan pinjaman yang ada faedahnya tetapi bertimbang rasa antara peminjam dan yang memberi pinjam.
Keuntungan sama-sama adil, kerugian sama-sama ditanggung. Biar ada tanggungjawab dan semangat tanggungjawab ini melahirkan hasil kerja yang bertanggungjawab dan tidak melepas tangan yang boleh memajukan perjalanan kewangan dan memajukan muamalah itu sendiri. Ini hikmah daripada amalan Islam. Saya berbalik kepada belanjawan yang dikemukakan dalam merealisasikan Bajet 2009 kerajaan jangan lupa teras Rancangan Malaysia Kesembilan.
Walaupun terdapat konsep penekanan yang sama dalam bajet 2009 ini dengan 2008 pembasmian kemiskinan, peningkatan taraf hidup rakyat, kesaksamaan sosioekonomi dan modal insan.
Menunjukkan bahawa semua konsep ini masih belum berjaya yang perlu diteruskan dalam pembasmian kemiskinan jangan hanya mengemukakan peruntukan-peruntukan jangka pendek dan saya lihat seolah-olah pembentangannya adalah secara jangka pendek sahaja, tidak melihat jangka panjang. Saya minta…pepatah yang ‘mengatakan lebih baik bagi pancing daripada bagi ikan’ kalau bagi ikan lepas habis ikan dia minta ikan lagi, bagi pancing dia boleh cari ikan sendiri lepas itu.
Dalam menangani masalah kemiskinan kerajaan jangan hanya menyediakan data jumlah kemiskinan yang diminta dalam Dewan di akhir tahun. Sediakan wang dahulu lepas itu baru cari kemiskinan. Kadang-kadang sumbangan yang diberi tersasar, tidak sampai ke matlamat orang-orang miskin itu sendiri. Kerajaan mesti membuat kajian yang terperinci berapa jumlah orang miskin yang dapat dipulihkan, berapa jumlah orang miskin yang tidak ada harapan untuk dipulihkan, Orang kurang upaya, orang cacat ada harapan untuk dipulihkan berapa jumlah.
Jangan semuanya tak dapat dipulihkan, sepanjang masa boleh subsidi, seolah-olah kita mahu orang ini wujud supaya senang dapat undi dalam masa pilihan raya, ini tidak bertanggungjawab…
Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: [Bangun]Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Kita mesti menunaikan tanggungjawab, mesti ada angka berapa ramai yang boleh dipulihkan…
Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Marang. Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju kalau disebut tentang mentaliti subsidi sejak daripada 50 tahun BN memerintah menyebabkan kemiskinan bertambah teruk terutamanya. Bukan sahaja berlaku di Sabah dan Sarawak tetapi di peringkat negeri Kedah di Padang Terap, Sik, Baling ini semua apa yang kita lihat mentaliti yang mahukan subsidi menyebabkan mereka terus miskin. Adakah Yang Berhormat Marang bersetuju?
Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang]: Saya bersetuju dengan huraian-huraian. Ada mereka yang mesti diberi subsidi sepanjang masa, yang tidak ada harapan untuk dipulihkan, Orang kurang upaya, ibu tunggal, yang tidak ada tempat bergantungan, yang sudah tua, dan lain-lain. Dalam keadaan-keadaan darurat ketika menghadapi inflasi, mereka yang tinggal di kawasan-kawasan bandar, setinggan, yang miskin ada insentif daripada kerajaan sementara waktu bukan selama-lama dan ada yang selama-lama dan mestilah diperincikan.
Dalam masa yang sama kita mesti ada angka berapa orang miskin yang sudah dibebaskan, tidak perlu lagi bantuan. Kadang-kadang yang sudah dibebaskan juga ada buat bantuan, dan bantuan ini menjadi masalah. Kalau bagi duit hari raya, datang dengan kereta letak jauh-jauh. Ini berlaku di kawasan saya, di negeri Terengganu, di negeri lain pun ada berlaku macam ini. Oleh kerana itu, mesti terperinci jumlah ini baru diperuntukkan dulu baru cari.
Mereka yang menjadi sasaran ini ialah petani, nelayan, buruh, penganggur dan berlakunya ketirisan dalam menyampaikan bantuan-bantuan ini. Seperti yang saya sebut tadi bantuan yang diberi kepada yang tidak berhak, penyalahgunaan bantuan, contohnya subsidi diesel, petrol yang diberi baru-baru ini bukan dapat kepada nelayan tetapi lintah-lintah darat, tauke-tauke, jual di laut, nelayan menjadi pekerja untuk menjual diesel yang dijual di laut, ini berlaku. Walaupun ada tindakan-tindakan tetapi amalan ini berterusan, dalam masa yang sama kerajaan mesti mendidik masyarakat untuk membantu.
Bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, kalangan-kalangan swasta mesti dilibatkan dalam membantu menangani masalah kemiskinan. Cuba menjadi tanggungjawab bersama, tanggungjawab sosial, tanggungjawab masyarakat.
Kerajaan jangan hanya memberi kontrak, memberi projek, memberi itu sahaja tetapi galakan-galakan kepada mereka yang melakukan kerja-kerja kebajikan, yang berjaya dalam projeknya, yang berjaya dalam khidmat kepada masyarakat.
Yang kedua, penekanan dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan kuasa beli. Kita dilanda oleh keadaan inflasi yang begitu rupa. Kita melihat negara lain, negara Barat, Singapura yang dekat dengan kita walaupun berlaku inflasi tetapi kadar gaji yang sekurang-kurangnya boleh menghadapi masalah kehidupan. Apa yang berlaku di negara kita ini, kadang-kadang pendapatan tidak mencukupi. Ini melahirkan gejala-gejala sosial.
Kerajaan mesti bersungguh dalam menangani masalah ini dan mesti melihat supaya gaji kakitangan rendah, buruh dan sebagainya supaya pendapatan di kalangan orang miskin dipastikan mampu sara hidup. Saya faham mungkin ada perbezaan di antara kawasan Bandar seperti Kuala Lumpur dengan bandar yang jauh.
Kerajaan boleh memberi insentif, memberi sumbangan untuk mereka yang dihimpit oleh kawasan-kawasan yang tertentu dan kerajaan mesti membuat kajian dalam sistem gaji dengan cara yang tepat bukan dengan cara yang tidak tepat supaya hilangnya masalah taraf hidup yang tidak seimbang dengan inflasi.
Masalah pengangguran, walaupun di sana ada program modal insan untuk melahirkan tenaga mahir di kalangan terpelajar tetapi berlakunya pengangguran. Pengangguran ini berlaku sama ada tidak ada peluang pekerjaan ataupun tidak ada semangat, semangat tidak ada. Keduadua aspek ini hendaklah diberi perhatian, yang tidak ada peluang pekerjaan mesti diberi peluang pekerjaan, mewujudkan suasana yang memberi peluang pekerjaan, yang tidak ada semangat dipulihkan semangatnya termasuklah penjenayah, penagih dadah.
Saya mencadangkan supaya mereka bukan sahaja dihukum dengan hukuman sebegitu rupa sahaja. Penagih dadah, penjenayah ini dihukum dan dididik dengan pekerjaan-pekerjaan ataupun dalam masa mereka dihukum memberi hasil dan sumbangan kepada negara.
Masalah pekerja asing hendaklah dengan cara yang sistematik jangan dengan cara yang tidak teratur. Kerana cara yang tidak teratur, kedatangan pekerja asing yang tidak perlu yang menyebabkan hilangnya pekerjaan kepada rakyat. Kadang-kadang kerana adanya kalangan yang melihat upah yang murah, kerana mahu upah yang murah keuntungan yang besar ambil pekerja asing tanpa mengambil kira penduduk tempatan sendiri.
Jangan kita jadi seperti kera di hutan disusukan, anak diriba dilemparkan. Kerajaan mesti mengambil perhatian juga, begitu juga pekerja asing yang membawa gejala social hendaklah ditapis dengan sebaik-baiknya dan yang ketiga dalam konteks belanjawan ini ialah kesaksamaan sosioekonomi.
Kita jangan terus-menerus dengan sistem yang diamalkan di zaman penjajahan dahulu. Negeri-negeri di Pantai Timur sebagai contoh diabaikan. Negeri-negeri di Malaysia Timur diabaikan. Banyak industri, pembangunan-pembangunan yang memberi pulangan yang lumayan, yang mengukuhkan ekonomi di negeri Pantai Barat, kemudahan-kemudahan pelabuhan dan lainlain Pantai Timur dan Malaysia Timur ditinggalkan.
Kita melihat sendiri bagaimana amalan projek-projek hanya digalakkan dalam masa pilihan raya. Apabila ada pilihan raya kecil berebut-rebut hendak buat jalan. Kadang-kadang rakyat bercita-cita supaya wakil rakyat itu mati cepat apabila dapat projek. Ini malang, dia tidak bertanggungjawab.
Di Malaysia Timur, di Sabah, di Sarawak saya melawat beberapa kali. Walaupun kita telah mencapai kemerdekaan 50 tahun, Malaysia Timur hampir 50 tahun, masih banyak kawasan yang tidak ada infrastruktur. Melalui sungai tidak ada jalan raya, tunjuk muka apabila ada pilihanraya, selepas pilihan raya dilupakan. Apa yang berlaku adalah aktif di dalam menebang balakbalak sahaja, mengambil hasil bumi sahaja tetapi rakyat dibiarkan.
Penduduk-penduduk asli, jangan jadikan penduduk asli ini barang warisan untuk dipelihara selama-lamanya. Seolah-olah kita bangga menjadi barang warisan. Orang Iban, orang Kadazan, orang yang asal duduk di kawasan ini, biar pelancong datang tengok. Kita mesti ada tanggungjawab, memasyarakatkan mereka, majukan mereka, jangan dibiarkan begitu.
Dalam menangani masalah pengagihan pendapatan ini kita tidak menafikan kaum bumiputera adalah majoriti kalangan miskin, oleh kerana itu mereka diutamakan di peringkat ini. Kaum bumiputera dengan jumlah yang besar tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh mengabaikan kaum yang lain, yang juga menjadi sebahagian daripada kita, rakyat negeri ini.
Kaum Cina yang tinggal di kampung-kampung baru, kaum India di estet, mereka adalah rakyat kita, jangan duduk berbalah siapa yang asal duduk di sini dahulu, hilangkan perbalahan itu. Kita hendaklah menerima hakikat, ini semua adalah rakyat negara kita… [Tepuk] Jangan duduk bertengkar. Kita terima hakikat ini. Ini cara kesaksamaan sosioekonomi yang perlu dilaksanakan.
Mengeratkan perhubungan kaum, mewujudkan perpaduan rakyat, hendak menyatukan manusia bukan macam hendak menyatukan batu bata, bangunan rumah. Manusia bukan batu, manusia bukan kayu. Manusia ada perasaan, ada hati nurani. Hendak menyatukan mereka bukan diambil kira isi perut termasuklah isi hati dan perasaan, bukan perlu dilayan perut dan kemahuan perut sahaja. Perasaan hati juga dengan keadilan yang sebenarnya, ini yang menyatukan rakyat… [Tepuk]
Modal insan, insan adalah manusia. Manusia mempunyai naluri dan fitrah yang tersendiri. Untuk membangun manusia mestilah membangun fitrahnya, membangun sifat-sifat semula jadinya. Manusia ada roh, manusia ada jasad, manusia ada perasaan individualistik, manusia hidup bermasyarakat. Islam memberi perhatian kepada semua aspek ini. Islam berbeza dengan ajaran yang lain, yang memberi penekanan kepuasan jasad sahaja.
Ada yang memberi penekanan kepuasan roh sahaja tanpa mengira jasad, hendak menjadikan manusia macam malaikat. Ada yang memelihara kepentingan masyarakat sehingga menghapuskan hak-hak individu macam komunisme. Ada yang memelihara kepentingan individu tanpa masyarakat. Aspek-aspek kemanusiaan ini perlu diambil kira dalam semuanya dalam membangun modal insan.
Bukan sahaja dibangunkan kesihatannya, mesti dibangunkan akalnya dengan ilmu, ilmu pengetahuan mematangkan akal dan ilmu pengetahuan yang memahirkan kehidupan diri. Dalam masa yang sama, ilmu yang membuahkan akhlak yang mulia, ilmu yang melahirkan semangat patriotik. Ini perlu diambil kira atau kita hanya memberi penekanan dalam ilmu-ilmu pengetahuan akal sahaja, tanpa akhlak dan tanpa semangat patriotik, manakan mendatangkan hasil yang sebenarnya.
Walaupun ramai mereka yang lulus universiti, tapi ramai yang menunggu kerja kerajaan sahaja, tak sanggup nak bekerja sendiri. Yang bekerja, menyeleweng pula, jadi penipu. Cerdik tak boleh tumpang, bodoh tak boleh harap. Ini berlaku dalam masyarakat, mendidik akhlaknya tahu dosa dan pahala, kena dan sabar, adil dan zalim, jangan kita didik rakyat menjadi rakyat, menjadi rakyat mengukur benda yang salah, yang diukur siapa bagi duit?
Sehingga minda kita nak berpolitik pun dipengaruhi politik wang, bukan politik memilih siapa yang layak. Dalam pilihan raya pun sama, memilih pemimpin yang dapat bagi wang, bagi benda, bukan pemimpin yang bertanggung jawab. Ini kerana kita tidak mendidik manusia membangun manusia dengan akhlak. Dengan ilmu saja tidak boleh, mesti dengan akhlaknya. Dengan semangat patriotik, sangat malang, kita mengajar anak-anak kita seolah-olah wira kita hanya tahun 1946.
Padahal kita menentang penjajah sejak kedatangan Portugis dan Belanda. Di mana pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah sejak zaman itu hilang, seolah-olah keperkasaan kita, hanya tahun 1946 selepas mencapai kemerdekaan dihilangkan.
Sejarah-sejarah silam yang sepatutnya membangkitkan semangat, dalam menangani modal insan ini, melahirkan semangat patriotisme. Kita belum belajar dari Jepun yang ranap dalam perang dunia yang kedua. Jerman yang roboh dalam perang dunia kedua bangkit menjadi kuasa besar ekonomi dan politik.
Taiwan, China bangkit dengan cara mereka sendiri, di samping mereka mendidik rakyat dengan ilmu dan semangat, untuk menimba ilmu dari mana sahaja datangnya. Ini kerana di nyatakan oleh Nabi s.a.w… [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan orang yang beriman” di mana saja dia jumpa, dia mesti ambil. Tamadun Islam, belajar dulu Tamadun Cina, Tamadun India, Tamadun Rom, Tamadun Parsi, Tamadun Mesir, diambil semua yang menjadi manfaat, diterjemahkan dalam bahasa Arab. Untuk mempelajari tamadun lain dengan bahasa masing-masing, untuk membanyakkan tenaga mahir yang melahirkan tamadun bangsa itu mestilah bangsa ibunda sendiri.
Jepun meramaikan manusia-manusia yang di bangun yang dibina dengan bahasa Jepun. Taiwan dengan bahasa Cina, kita belajar Taiwan dengan kemajuan dia, bukan dengan bertumbuk dalam Parlimen. China bangkit dengan bahasa Cina, dia nak pergi luar, dia belajar dengan bahasa Inggeris, bahasa Perancis. Begitu juga negara kita, mestilah kita memperkasakan bahasa kebangsaan supaya menjadi bahasa ilmu, bahasa ibunda. Jangan dihalang belajar bahasa ibunda masing-masing. Ini kerana masing-masing bangsa ada bahasa dia sendiri, dia selesa dengan bahasa dia,dan kita telah berjaya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan.
Akhir-akhir ini saya melihat bahasa kebangsaan tidak diperkasakan, dilekehkan. Kita lihat bagaimana pemimpin Jepun buat perjanjian dengan bahasa Jepun terjemah dengan bahasa lain, kalau silap, mesti balik dengan bahasa asal dia. Dia boleh kelentong ikut bahasa dia. Inggeris dengan bahasa Inggeris, Perancis dengan bahasa Perancis. Kita dengan bahasa orang, orang kelentong kita, ini yang berlaku. Tidak menjadi salah kita banyak belajar bahasa asing, tapi dalam masa yang sama nak memperkasakan bangsa kita sendiri mestilah dengan bahasa kita sendiri.
Dalam memantapkan ekonomi rakyat dan negara, pembangunan sektor sokongan dan pembangunan industri logistik amat penting. Kita melihat sebagai contoh, saya orang kampung, melihat sendiri bagaimana petani nak bertanam, menghadapi masalah harga baja yang mahal. Penternak nak pelihara binatang, harga makanan binatang ternakan mahal.
Orang yang tinggal di Pantai Timur sebagai contoh, terpaksa beli dari Johor, dari Pantai Barat. Mengapa tidak dibina di Pantai Timur, di Malaysia timur, dibanyakkan? Begitulah juga kemudahan dalam bangunan kilang besi, kilang simen, teknologi macam PERWAJA yang dahdiambil tindakan, dah meninggal dunia, tak tahulah apa jadi. Kita mahu kilang besi, kilang simen yang benar-benar memberi kemudahan kepada industri-industri yang lain untuk memantapkanekonomi kita.
Industri Kecil Sederhana atau IKS perlunya ada sokongan dan hiliran. Kerajaan perlu mempelajari lebih kesilapan-kesilapan yang lalu. Sebagi contoh, rakyat digalakkan menceburi industri pertanian di pasarannya tidak mencukupi menyebabkan berhenti di tengah jalan. Di Pantai Timur, sebagai contoh pertanian industri rozel ditanam begitu banyak, oleh sebab pasarannya tidak ada, akhirnya petani menjadi mangsa, pengusaha kecil menjadi mangsa.
Saya harap yang kena ini juga jangan jadi begitu, saya dah beri peringatan dalam ucapan saya yang lalu. Mestilah projek hilirannya, pasarannya disusun dengan baik, dengan bertanggung jawab dengan berjaya, dan kerajaan wajib memanfaatkan semua hasil bumi. Kurnia Allah SWT, Allah SWT bagi kita sumber hasil bumi yang banyak, sumber petroleum, sebagai contoh, dengan Petronas hendaklah ditingkatkan dan dilaksanakan dengan betul. Sumber hasil galian ini dipelihara dengan sebaik-baiknya dengan cara yang ekonomik, jangan rakus dengan mengeluarkan dengan sebanyak-banyak, mesti ada simpanan kita dengan sebaiknya.
Dalam masa yang sama, hasil daripada itu hendaklah diagih kepada program-program yang lain yang akan membantu negara bila sumber ini tidak ada lagi.
Saya menghargai Petronas melaksanakan projek-projek sehingga peringkat antarabangsa hingga di luar negara. Akan tetapi mestilah berhati-hati, saya dapat satu berita ada projek di Mauritania. Satu kompeni dibeli oleh Petronas, saya tak tahu betul ke salah, biar kerajaan jawab. Dikatakan kompeni ini sakit, tenat, kita beli yang tenat ini, orang lain tidak mahu beli. Walaupun penasihat-penasihat yang pakar dalam Petronas menasihatkan jangan beli, tapi yang lebih atas, suruh beli juga. Mungkin ada lagi tempat-tempat lain, kita tak mahu hal-hal seperti ini berlaku. Komoditi, pertanian, penternakan hendaklah ditingkatkan dengan cara sebaikbaik.
Kita mempunyai tanah yang luas terutama dalam menghadapi krisis makanan, hendaklah diselaraskan dengan Dasar Jaminan Makanan Negara dengan bergantung import. Kita melihat negara-negara mahu dalam dunia, negara industri besar, mereka memberi perhatian kepada makanan yang cukup. Di Amerika, di England, Jerman, di Perancis, kalau kita melawat di sana, kita melihat sendiri mereka mempunyai sumber-sumber pertanian yang cukup untuk sara hidup negeri mereka sendiri sekiranya berlaku apa-apa hal, berlaku apa-apa perkara darurat.
Saya pernah menyebut perkara ini dalam Dewan ini dalam tahun 90-an tetapi Menteri Pertanian di masa itu mengatakan tidak ekonomik. Lebih baik kita beli daripada luar, import. Lebih baik kita buat program pertanian di luar, bawa balik ke negara kita. Dipandang lekeh begitu saja.
Hari ini baru tahu bila kita menghadapi krisis makanan. Tak apalah, kita boleh perbetul balik dalam perkara ini. Jepun sebagai contoh, memberi subsidi 99% kepada petani. Kerajaan sanggup menghabiskan wang untuk menyediakan jaminan makanan negara. Ini sebagai satu contoh. Tanah di negara kita luas, tanah terbiar masih banyak. Dalam masa yang sama untuk menghadapi krisis ekonomi, diharap kerajaan supaya mengalih pergantungan kepada dunia Barat.
Alihkan pergantungan kita kepada tolong-menolong di kalangan sesama sendiri, di kalangan negara Islam dan negara serantau. Sudah tiba masanya kita menamatkan pergantungan dalam tukaran antarabangsa kita dengan dolar. Patutnya negara yang sedang membangun, negara serantau dan negara Islam ada asas sendiri. Mata wang sendiri menjadi pergantungan kepada mereka supaya kita tidak terikut-ikut dengan gejala ekonomi yang berlaku pada kuasa-kuasa yang lain.
Seterusnya saya ingin menarik perhatian, semua perkara-perkara ini dapat dilaksanakan dengan jaya sekiranya kita dapat membangun insan dalam erti kata yang sebenar. Dengan caracara yang saya sebut yang kita mengubati penyakit-penyakit yang sedang berlaku dalam diri kita.
Di antaranya ialah krisis keyakinan, kita sedang menghadapi krisis keyakinan dalam diri kita sendiri. Tak percaya pada diri kita sendiri, tak percaya pada kekuatan dan sumber yang ada pada kita sendiri. Krisis keyakinan perlu diselesaikan.
Maka pendidikan, pelajaran, penerangan perlu memainkan peranan dalam mengubati krisis keyakinan ini. Di antara yang menimbulkan krisis keyakinan ialah tidak percaya kepada pentadbiran kerana banyaknya rasuah, tidak percaya kepada badan kehakiman kerana berlakunya kelakuan-kelakuan tidak senonoh, tak percaya kepada BPR kerana tindakan-tindakan yang tidak berkesan yang tidak boleh mengatasi masalah rasuah. Sepatutnya kadar rasuah makin kurang tapi makin bertambah. Ini semua menghilangkan keyakinan.
SUHAKAM dalam Laporan SUHAKAM supaya kerajaan melakukan reformasi terhadap kehakiman, BPR, media, SPR, undang-undang yang dianggap tidak sesuai seperti ISA, undang-undang pada zaman penjajah kita masih amal lagi. Ini perlu diubah, dipinda pada undang-undang yang adil, yang baik.
Undang-undang hukum gantung sampai mati. Baru-baru ini di peringkat antarabangsa golongan hak asasi manusia menimbulkan hukuman gantung sampai mati, ini hukuman zaman kuno. Masih diamalkan. Undang-undang yang seperti ini hendaklah dihapuskan, ditukar pada yang lain. Bukan tak ada undang-undang langsung. Bukan bermakna kita minta hapuskan ISA bermakna tak ada undang-undang, ada undang-undang.
Buat undang-undang yang lain, yang baik, yang adil, yang sesuai dengan perkembangan masa, yang sesuai dengan kita sudah merdeka. Undang-undang yang menimbulkan rasa tanggungjawab yang tidak menghilangkan kasih sayang antara kerajaan dan rakyat, antara satu sama lain… [Tepuk]
Saya yakin dan percaya sekiranya kita sedia untuk membuat perubahan-perubahan ini, kita berada di negara yang selamat. Kalau kita masih lagi berkeras, tak mahu mengakui kesilapan, kesalahan, tak sanggup nak kembali ke pangkal jalan, maka kita akan menerima akibat malang di samping saya menerima hakikat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nak mengundurkan diri. Saya berharap Perdana Menteri akan dapat melaksanakan ikrar sebelum berundur. Nak memulihkan kehakiman, nak memulihkan BPR, nak memulihkan banyak perkara lagi.
Mudah-mudahan beliau meninggalkan peninggalan yang baik sebelum mengundurkan diri dan kita sokong sekiranya Perdana Menteri ingin buat perubahan yang sungguh-sungguh… [Tepuk] untuk menyelamatkan negara. Saya rasa itulah ucapan saya. Sekian, terima kasih.
RUJUKAN: 15 Oktober 2008
Difailkan dalam: ADR Marang, Dewan Rakyat, Ucapan

Tuesday, October 14, 2008

Impian "16 September"

Oleh anaksengat

" DSAI hari ini menyatakan sasaran beliau kini ialah menumpukan ekonomi negara. Tiada lagi usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Malaysia. Mimpi lompat tiada lagi. Harapan rakyat kini terhenti. Pastinya isu yang sedikit sebanyak menggugat perpaduan ahli dan pimpinan PAS sepatutnya selesai.

Kenyataan TGHH sewaktu muktamar bahawa beliau tidak mahu menjadi Mat jenin ternyata tepat. Pandangan Datuk Mustapha Ali yang mencetuskan perselisihan terbuka dalam PAS juga terpaksa diakui WALAUPUN ADA TARIKH BARU YANG DISASARKAN


Bukan tujuan mengungkit, namun mengharapkan kita kembali berada di landasan perjuangan yang berpijak di bumi nyata. Hampir semua program dalaman parti yang membuat post mortem biasanya menekankan agar kita tidak mengharapkan kemenangan dari kelemahan musuh sebaliknya kekuatan sendiri. Walaupun isu itu dibuat untuk musuh mungkin, namun yang malangnya ramai kita terhenti bekerja kerana membahaskan isu tersebut.

Ada blog pimpinan yang seolah menjadikan isu utama mempertahankan impian tersebut,. Samada persoalan lompat parti itu bermaruah atau tidak , kini bukan persoalan lagi. PR perlu terus bekerja kuat dan memastikan perpaduan dalaman dikukuhkan. Selain itu startegi sepatutnya ditumpukan bagi meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan PR.kalau Kelantan sebuah melahirkan anak seramai empat negeri...

sepatutnya empat akan melahirkan anak yang lebih ramai. Isu isu sensitif sepatutnya ditangani secara bijak. Perpecahan atau perselisihan dalaman sesama parti anggota PR atau dalam parti parti yang menganggotai PR sepatutnya selesai di meja rundingan bukan di media massa atau di blog atau sebarang media.

Umum mengakui isu 16 september mampu menggoncang kerajaan BN walaupun asas tarikh untuk perubahan itu agak longgar. Setelah 16 september isu itu seakan mati namun sedikit sebanyak kepercayaan rakyat juga mula longgar kepada PR khususnya dsai. Saya pasti akan ada yang menafikan kenyataan ini, namun teori yang lahir dari harapan dan angan angan tak mampu memadamkan realiti di rasai rakyat bawahan. Rakyat yang meletakkan harapan tinggi terhadap perubahan pada tarikh itu, khususnya setelah kenaikan mendadak minyak pastinya kecewa. Ada yang bersikap menaruh harapan baru , ada yang terus tunggu dan lihat dan ada yang mula kecewa dan mengangap tertipu. Bagi yang bersifat terbuka dan memahami itu sebahagian strategi Bijak DSAI hanya ketawa dengan kebimbangan yang ditunjukkan BN.

Diharapkan jangan ada pihak yang terlalu mengharap dan beriman dengan tarikh perubahan tersebut sehingga tidak rela ditegur atau dikritik menyalahkan pihak pihak yang tidak yakin sebelum ini. Jangan dituduh bahawa ada pihak dalaman PR sendiri yang menggagalkan rancangan tersebut untuk menyelamatkan UMNO. JANGAN! JANGAN! JANGAN!.

Anggaplah strategi DSAI itu berjaya kerana sekurang kurangnya BN turut berpecah. MPnya terpaksa dilarikan. Banyak masa dihabiskan untuk memastikan MP Sabah tak lompat parti. khabarnya apa sahaja yang diminta oleh kerajaan Sabah ditunaikan...Rakyat Sabah paling beruntung dengan isu itu.... atau pemimpin Sabah yang paling beruntung kerana pengaliran kewangan negara yang banyak mungkin tidak meleleh kepada rakyat. Yang pasti 16 september menjadi tarikh yang diberi perhatian oleh kerajaan pusat untuk disambut selepas ini sebagi tarikh penubuhan Malaysia. tidakkah itu kejayaan???

Apa yang penting semua ahli dan pendokong PR mesti bekerja untuk mengambil alih kerajaan dalam pilihanraya akan datang. Jangan mengharap jalan mudah dengan menanti orang lompat parti. Kenyataan pemimpin DAP bahawa lompat itu sesuatu yang tak bermaruah adalah isyarat yang mesti diberi perhatian. Bukan disudut jadi atau tidak tetapi menggesa kita bekerja keras. Menanti tarikh baru dengan jalan pintas menjadikan kebanyakan kita terus leka dari bekerja.

Lebih malang menghabiskan masa berhujjah SESAMA SENDIRI samaAda JADI ATAU TIDAK 16 SEPTEMBER? Saya yakin ramai yang letih memberi ramalan jadi atau tidak perubahan tersebut. Kalau diperingkat kawasan pun kita dah dijadikan sasaran membuat ramalan,, saya yakin peringkat negeri dan pusat lebih lagi... Yang pasti telah ramai melahirkan pakar ramal dikalangan kita. Apa yang saya tahu ramalan semata mata tidak menghasilkan kerja!!!

SEKALI LAGI DIINGATKAN...JANGAN MENYALAHKAN KEGAGALAN INI KERANA ADA PIHAK YANG TIDAK MEMBANTU MENJAYAKANNYA SEBALIKNYA MEMBANTU MUSUH! JANGAN ! JANGAN ! JANGAN!

Empat tanda kebinasaan "Hati yang keras, Mata yang beku (tak mengalirkan air mata menyesal dosa), Rakus dan PANJANG ANGAN ANGAN. - Alhadith.

Kini PR perlu kehadapan. Jangan biarkan pendokong hanya menanti tarikh baru untuk perubahan. Kita perlu kehadapan. Rancang strategi menawan hati rakyat. Rakyat kini perlu menjadi perhatian! setiap parti dalam PR mesti mengukuhkan perpaduan. Jangan menghabiskan berbalah dan mencabar sesama sendiri untuk sesuatu yang tak pasti. Paling penting! kerajaan yang kita kuasai benar benar berbeza dari kerajaan BN sebelum ini. Jangan ulangi kesilapan Bn yang menyebabkan rakyat benci. Kita menang kerana kebencian rakyat terhadap BN bukan hanya kekuatan sendiri. Kalau kita jua dibenci... pastinya kita juga kehilangan kuasa seperti BN dikalahkan.

Pastikan pemimpin tidak menyeleweng, kebajikan rakyat diberi perhatian..bla..bla...bla... untuk pemimpin... bagi kita pastikan menjadi tenaga kerja kepada kerajaan memperbaiki kelemahan dan menegur kesalahan... BUKAN MENGUMPUL KEKAYAAN!!!"

Saturday, October 11, 2008

Tazkirah Syawal

Muslimat yang dirahmati Allah,
Berlalulah sudah Ramadhan, sebulan berpuasa, beribadah dengan penuh tawadhu'. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai amal soleh.
Di sini izinkan saya terbitkan kembali satu artikel yang ditulis oleh Fahri Abdillah Al Masri;

"Bulan Ramadan lalu, ada beberapa buah program televisyen popular yang mendapat tempat di hati peminat, seperti Tanyalah Ustaz, Syahadah, As-Salam USA, Kembara Ramadan, Jejak Rasul, Al-Risaalah dan beberapa rancangan lagi.
Dalam banyak-banyak program tv itu, antara yang menarik perhatian saya ialah program Tanyalah Ustaz. Daripada persoalan yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada soalan yang paling sukar, rumit telah cuba dijawab oleh para penceramah dan tetamu undangan tersebut.
Mungkin bagi sesetengah orang, soalan-soalan yang mudah itu sangat remeh. Tetapi bagi sesetengah orang, persoalan yang remeh itu amat besar bagi mereka. Kalau persoalan itu terjawab, maka lapanglah dada mereka untuk meneruskan amalan.
Selagi mana batu persoalan itu masih belum dipecahkan, nescaya penonton tidak rasakan keseronokan dalam beramal. Bayangkan kalau pertanyaan mereka masih belum terjawab, maka akan berterusanlah mereka beramal dalam keadaan resah gelisah.
Misalnya, ada seorang wanita yang bertanya adakah batal solatnya jika dia membuat tiga gerakan sepanjang solat terawih? Lalu dijawab ustaz, bahawa yang dimaksudkan dengan gerakan tiga kali yang membatalkan solat itu adalah khusus terhadap pergerakan anggota yang membabitkan pergerakan yang keras dan jelas kelihatan.
Sekadar gerakan kecil-kecilan, maka hal itu bukanlah membatalkan solat. Maka, puaslah hati wanita itu untuk beramal sebagai biasa dalam menunaikan solat terawih itu.
Sementara itu, ada pula seorang wanita yang meminta pandangan mengenai pengambilan pil bagi menghentikan haidh. Tujuannya ialah supaya dia dapat meneruskan puasa seperti biasa. Mungkin, wanita itu mahu mengelak qada puasa.
Saya sendiri sudah lupa apa jawapan ustaz itu. Namun, yang jelas pada fikiran saya ialah, ustaz itu tidak menggalakkan amalan tersebut. Huraian lanjutnya tidaklah saya pasti.
Kalau saya berada di tempat ustaz tersebut, maka kemungkinan besar saya cuba mencari jalan falsafah untuk menjawabnya. Jawapannya ringkasnya lebih kurang begini ...
Islam agama fitrah
Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama fitrah. Dan puasa adalah di antara amalan yang akan menuntun jiwa manusia ke arah sifat kemanusiaan (fitrah) itu.
Kesemulajadian, sifat asal dan tabiat, fizikal dan mental, rohani dan jasmani manusia itu adalah fitrah. Insan dibekalkan dengan sifat yang sebenarnya tidak menghancurkan alam ini. Jika insan itu menjadi perosak, maka dia meninggalkan fitrah kejadian asalnya.
Kepada kaum Hawa, Allah membekalkan kepada mereka satu kitaran putaran haidh yang melengkapkan kewanitaan. Kewanitaan adalah sebahagian daripada belahan kemanusiaan (fitrah). Selesai berpuasa, kita akan menyambut Aidil Fitri (kembali kepada fitrah).
Syahadan, tidakkah tindakan memakan pil guna menyekat kelancaran kitaran haidh telah menghalang salah satu fitrah asal kejadian seseorang wanita yang normal?
Bagaimanapun, kita tidak akan mengutarakan persoalan hukum hakam di sini melainkan hanya ingin mengingatkan falsafah puasa sebagai amalan atau alat untuk mengembalikan jiwa manusia agar kembali menemui tabiatnya yang asal.
Banyakkan dialog hukum hakam secara langsung
Kembali kepada topik bualan asal yang berkisarkan dakwah perlu dibawa keluar daripada masjid, maka rasanya menjadi suatu keperluan dalam kalangan stesen penyiaran, saluran tv memperbanyak acara soal jawab secara dua hala melalui telefon, sms dan mel-e seperti mana program Tanyalah Ustaz itu.
Melalui acara secara langsung, bualan dua hala seperti Tanyalah Ustaz itu, kita nampak kesannya lebih kuat berbanding soalan-soalan yang dijawab melalui mel-e setiap minggu di dada akhbar. Tempoh menjawab soalan-soalan itu terlalu lama di akhbar.
Sama a kita setuju atau tidak, kita harus akui bahawa kadar celik hukum dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam ini berada pada tahap yang rendah.
Malangnya, golongan ini juga kurang membaca dan mereka tak tahu apakah bahan-bahan bacaan yang perlu dibaca. Selain itu, tidak ramai juga yang suka ke masjid, mendengar isi ceramah dan menghadiri sesi soal jawab tentang hukum hakam dalam masalah feqah.
Realitinya, ramai khalayak yang suka menonton tv. Jadi, saluran tv sememangnya saluran yang amat baik untuk mengasuh dan mendidik masyarakat kita melalui acara bual bicara seperti rancangan Tanyalah Ustaz itu.
Kebanyakan program seperti Halaqah, Forum Hal Ehwal Islam, al-Kulliyyah dan lainnya adalah bersifat sehala di mana hanya ustaz, agamawan, penceramah dan pendakwah saja yang memainkan peranannya untuk mempersembahkan idea.
Tetapi, ini tidaklah bermaksud rancangan itu kurang bagus. Malah ia perlu diteruskan dan seharusnya dikembangkan lagi dengan membanyakkan serta mempelbagaikan rancangan dakwah yang bersifat dua hala (sesi soal jawab) itu.
Ketika sedang asyik berjuang bagi menegakkan Negara Islam, maka jangan lupa bebanan tugas untuk mendidik insan hingga mereka terus beramal dengan sempurna. Amalan yang sempurna adalah amalan yang dilakukan tanpa wujud sebarang keraguan.
Dan amalan yang bersih daripada sebarang keraguan itu tercapai apabila setiap kekeruhan pertanyaan tentang selok-belok amalan itu dapat dijernihkan dengan segala jawapan.
Itu baru hal hukum-hakam sekitar persoalan solat terawih, amalan puasa, haidh dan nifas. Kita lihat masih ramai lagi masyarakat Muslim yang belum beres soal-soal kecil ini. Jadi, agak-agaknya, pertanyaan berhubung feqah Negara Islam sudah beres atau belum?
Kalau masih bersarang keraguan tentang feqah Negara Islam dalam hati dan fikiran orang Islam sendiri, apakah mudah laluan ke arah pembinaan Negara Islam di Malaysia di mana rakyatnya berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, berjalur fahaman dan ideologi?
_
Blog Widget by LinkWithin