Saturday, March 28, 2009

Krisis Perak: Dari pening menjadi migrain

Jumaat, 27 Mac 2009 04:53

Dalam artikel yang lalu (rujuk kolum 'Terbaik Dari Harakah'), saya telah mengulas bagaimana Umno begitu pening dimainkan oleh speaker Perak, V. Sivakumar. Meskipun pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk mengganggu tugas V. Sivakumar namun sehingga kini Umno masih belum berjaya. Satu persatu rancangan Umno digagalkan oleh V. Sivakumar.

Kalau Umno masih belum hilang pening dimainkan oleh Sivakumar kini pening Umno bertukar kepada migrain. Kenapa? Kerana hasrat Umno untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bagi pihaknya bukan sahaja ditolak oleh Mahkamah, tetapi kelima-lima Hakim sebulat suara menyatakan bahawa tindakan Umno merujuk kes Nizar lwn Zambry terus ke Mahkamah Persekutuan adalah melanggar undang-undang.

Untuk manfaat para pembaca saya akan cuba menerangkan serba ringkas apa yang berlaku di atas kes Mahkamah antara Nizar dan Zambry.

Seperti mana kita tahu Nizar telah memfailkan Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan antara lain perintah deklarasi bahawa beliau ialah dan pada setiap masa material dan masih Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

Usul tidak percaya

Perintah tersebut dipohon kerana berdasarkan tafsiran Fasal XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah jelas bahawa dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dan tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dan juga tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterima pakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar Negeri Perak dan akhirnya tidak tidak terdapat juga perletakan jawatan Menteri Besar Perak, maka Nizar adalah masih Menteri Besar Perak yang sah.

Di dalam undang-undang mana-mana permohonan semakan kehakiman ianya memerlukan kebenaran Mahkamah. Semasa peringkat untuk mendapatkan kebenaran, pihak pemohon hendaklah menyerahkan permohonannya kepada Peguam Negara sahaja. Dalam konteks kes Nizar, beliau hanya perlu menyerahkan permohonannya kepada Peguam Negara. Nizar tidak perlu serahkan permohonannya kepada Zambry (sebagai responden) kerana secara teknikalnya Zambry masih belum dikira sebagai pihak. Oleh itu Zambri atau peguamnya tidak perlu hadir.
Pendengaran permohonan semakan kehakiman adalah antara Nizar dan Peguam Negara sahaja. Hanya setelah kebenaran diberikan mahkamah barulah Nizar kena serahkan permohonannya kepada Zambry dan barulah ketika itu Zambry boleh dikatakan sebagai pihak.

Apa yang berlaku semasa pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman, pihak hakim telah bersetuju dengan pihak Peguam Negara bahawa kes Nizar sepatutnya dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan. Bagi para peguam tindakan Peguam Negara dibaca sebagai satu tindakan 'short cut' untuk menyelesaikan kes ini dengan segera.

Peguam Nizar tidak bersetuju kes dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan kerana undang-undang tidak membenarkan Mahkamah Tinggi melakukan perkara tersebut.
Berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak pihak Mahkamah tidak boleh merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan. Malangnya Hakim Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujah Peguam Negara bahawa kes tersebut boleh dirujuk ke Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.

Peguam Negara tidak betul

Peguam Nizar berhujah bahawa hujah Peguam Negara adalah tidak betul kerana Seksyen 84 menyentuh tentang kes di mana Mahkamah Tinggi boleh merujuk isu penafsiran Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan. Namun Perlembagaan di bawah Seksyen 84 merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan bukan Perlembagaan Negeri.

Hujah peguam Nizar kuat dan jelas tapi Hakim tidak ikut hujah yang kuat dan jelas sebaliknya setuju dengan hujah Peguam Negara yang kabur dan lemah.

Peguam Nizar yang tidak bersetuju dengan keputusan Hakim tersebut telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Malangnya Mahkamah Rayuan tidak mahu ikut hujah kuat dan jelas peguam Nizar tetapi lebih selesa mengikut hujah Peguam Negara yang lemah dan kabur tersebut. Maka pada hari Jumaat lalu Mahkamah Rayuan menolak rayuan Nizar.

Sementara itu rujukan ke Mahkamah Persekutuan ditetapkan pada hari isnin. Peguam Nizar membuat bantahan awal. Pada hari Isnin itu para peguam Nizar telah pergi ke Mahkamah Persekutuan dengan perasaan berdebar-debar. Jika Mahkamah Persekutuan tidak menerima hujah kami, maka kami melihat perjuangan Nizar di mahkamah mungkin berakhir di situ pada hari itu.

Kami juga dapat rasakan betapa pasukan peguam Umno dan Peguam Negara sendiri bersungguh mahu kes Nizar lwn Zambry diputuskan hari itu. Sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan memihak kepada mereka maka Nizar tidak boleh lagi merayu ke Mahkamah yang lain kerana Mahkamah Persekutuan adalah Mahkamah tertinggi di negara ini.
Zambry sendiri buat pertama kali hadir di Mahkamah. Mungkin beliau amat yakin akan disahkan sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah pada hari itu.

Peguam Nizar yang diketuai oleh Haji Sulaiman dengan tenang dan bergaya berhujah. Hujahnya amat jelas dan terang. Peguam Negara dan peguam Umno kelihatan sukar dan berbelit-belit ingin menjawab hujah peguam Nizar.

Setelah mendengar hujah, mahkamah berhenti rehat lebih kurang setengah jam. Kira-kira jam 2 petang kelima-lima hakim keluar ke galeri Mahkamah dan memutuskan antara lain berikut:
"Meskipun kami ingin sangat nak memutuskan kes ini dengan segera, namun kami terikat dengan undang-undang. Kami mendapati tindakan Mahkamah Tinggi merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan adalah tidak betul dan melanggar undang-undang. Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman tidak boleh digunakan kerana kes ini melibatkan penafsiran Perlembagaan Negeri Perak bukannya Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu kes ini kami perintahkan untuk kembali ke Mahkamah Tinggi."

Peguam Umno nampak terkejut. Zambry dah keluar lebih awal. Harapan Umno mahukan kes ini disegerakan tidak kesampaian. Sehingga 15 Mei ini jika Dun Perak tidak dapat bersidang, ia akan terbubar secara automatik.

Itulah sebabnya saya kata Umno kini telah bertukar dari pening kepada migrain. Untuk Umno saya ingin nyatakan ada ubatnya. Bubarkan saja Dun. Insya Allah baik pening dan migrain kamu!

Mohamed Hanipa Maidin

Wednesday, March 11, 2009

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Gerakan Mansuh PPSMI
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.

MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

  1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.
  2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?
  3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?
  4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.
  5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.
  6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.
  7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.
  8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.
  9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.
  10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun]. HASIL KAJIAN
  11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.
  12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato' Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.
    APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?
  13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS
  14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.
  15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.
  16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.
  17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.
Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

-Patik sekalian yang berdatang sembah.-

Tuesday, March 10, 2009

KISAH BENAR NIZAR DAN PADUKA SERI SULTAN PERAK

(ini adalah catatan peribadi dato seri ir haji mohamad nizar jamaludin sendiri)
Oleh: Datuk Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin
Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.
Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan. Situasi semasa memerlukan saya sepenuh masa menangani beberapa permasalah akibat rampasan kuasa (coup d”etat) oleh UMNO BN pada 5 februari 2009.
Ini sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak apabila dengan zalim dan rakusnya Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak mengadap DYMM Sultan Perak pada pagi 5 Feb. 2009 untuk merompak hak rakyat tersebut melalui pintu belakang.
Pada 2 Feb 2009 (Isnin) , saya mengadap DYMM Sultan Perak di Istana Kinta bagi mempersembahkan 2 pucuk salinan surat perletakan jawatan YB Jamaluddin(Behrang) dan YB Osman (Changkat Jering) bertarikh 30 Jan 2009, dan surat dari YDP Dewan (Speaker) YB Sivakumar kepada SPR memohon di laksanakan pilihanraya kecil kedua-dua DUN tersebut.
Ketika itu UMNO-BN di ketuai oleh Najib Tun Razak masih dalam proses memerangkap beberapa wakil rakyat PR khususnya YB Dato’ Nasaruddin (ADUN Bota yang telah menyeberangi ke PKR) pada 25 Jan 2009, dan ADUN Jelapang YB Hee Yit Fong.
Perhubungan dengan YB Jamaluddin dan YB Osman telah terputus mulai 26 Jan 2009. Keluarga dan orang terdekat termasuk ketua umum PKR, DSAI, juga gagal. Hanya setelah surat perletakan jawatan dikemukakan baharulah kedua mereka muncul bersama Najib Tun Razak. Semasa kemelut itu juga YB Dato Nasaruddin (BOTA) dilapurkan hilang dibawa oleh 2 orang ADUN UMNO yang kononya mereka diarah menjemput YB Dato Nasa bertemu Raja Muda. Dia akur dengan pelawaan palsu tersebut dan bersetuju bersama kedua-dua adun umno menaiki pacuan empat roda dan trus hilang entah kemana, khabarnya dilarikan kepada dakapan Najib Tun Razak.
Dilaporkan oleh isteri YB Dato’ Nasa, Datin UMI bahawa suaminya hilang mengikut dua orang adun umno pergi bertemu Raja Muda tetapi rupa-rupanya untuk dibelutkan oleh umno agar YB Dato’ Nasa kembali semula kepada umno-BN walaupun telah bersumpah dikhalayak ramai 10,000-15,000 orang pengundi Bota pada 30 Jan 2009 untuk tidak akan berganjak dan kembali kepada UMNO. Pertemuan YB Dato Nasa denga saya di pejabat MB pada 29 Jan 2009 bersama ahli-ahli exco dan pimpinan PKR Perak juga menjanjikan benda yang sama. Bila ditanya oleh warga media adakah YB Dato Nasa akan kembali kepada UMNO oleh kerana pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada Najib Tun Razak, namun jawab YB Dato Nasa, “Insya Allah, tidak”.
Ketika itu kedapatan YB Hee dari Jelapang juga turut lesap dan putus hubungan, sehingga YAB ketua Menteri Pulau Pinang selaku SU Agong DAP memberi amaran mana-mana ADUN DAP yang putus hubungan dalam tempoh 24 jam di kira telah meletak jawatan.
Ketika itu, keputusan SRP pula menafikan hak dan permohonan YB Speaker untuk diadakan PRK di Behrang dan CGKT Jering. Maka tiada pilihanraya kecil, ini pula atas desakan dan campur tangan UMNO BN mengarahkan pengerusi SPR yang baru dilantik (tetapi diberi amaran kerana bertanggungjawab tersungkurnya UMNO BN di KT ) untuk jangan diadakan PRK di Behrang dan Cgkt Jering. (Bertentangan dgn Perlembagaan Persekutuan 113). Untuk pengetahuan semua, SPR tidak boleh menolak mana-mana permohonan dari mana-mana Speaker di Malaysia untuk isytihar PRK apabila ada surat dari wakil rakyat tersebut yang meletak jawatan. Peranan SPR dalam Perlembagaan Malaysia hanyalah sebagai pelaksana sahaja dan bukanya pemutus untuk tolak atau meragukan mana-mana surat yang pada pandangan Speaker adalah sah.
Maka pada 4 Feb 2009, selaku MB serta ketua DUN, saya mengadap DYMM memohon perkenan agar dibubarkan DUN Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak membuat pilihanraya baru dan secara sahnya memilih kerajaan baru. DYMM Sultan menyatakan akan mengkaji dan menghubungi saya kemudian, saya akur. DYMM Tuanku mengucapkan kepada saya, “Innallaha maa Sobirin” (Sesungguhnya Allah bersama orang2 yang sabar) dengan senyuman sambil menggoyang-goyangkan kedua tangan Tuanku.
Kesokan harinya 5 Feb 2009, (khamis) jam 10.00 saya bersama-sama YAB PM Pak Lah berada di Bgn Serai merasmikan majlis mekanisasi pertanian penanaman padi seluas sekitar 200 ekar secara moden oleh Sime Darby. Namun keseluruhan berita telah digelapkan walaupun ada liputan media meluas. Jam 11.45 pagi saya menerima perintah DYMM Sultan untuk mengadap di Istana Kinta. Maka saya memohon laluan dari YAB PM dan terus menuju Istana . Sesampainya di Istana, DYMM Sultan telah sedia menanti bersama Penasihat Undang-undang, (LA).
Saya terus angkat sembah dan duduk (cukup luar biasa sebab yang biasa apabila dititah atau mohon mengadap, sayalah yang akan menunggu DYMM Sultan didalam bilik khas). DYMM menyatakan kepada saya:-
1. Kesemua 27 ADUN BN telah dipanggil mengadap dan setuju trus dengan BN
2. Adun Bota (YB dato Nasa) telah bersetuju kembali kepada UMNO-BN
3. Ketiga Adun Behrang, Cgkt jering dan Jelapang juga telah dipanggil mengadap dan bersetuju keluar PR dan menjadi ahli Bebas serta menyokong BN, menjadikan 31 orang. (28 +3)
4. Maka sekarang BN ada majoriti dan PR cuma ada 28 ADUN.
Saya sudah terlintas dihati yang sesuatu tak kena akan terjadi makanya, saya mohon mencelah dari DYMM Sultan dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengutarakan hujah dan point berikut:-
i. Saya hanya memohon perkenan kebawah DYMM Tuanku untuk dibubarkan DUN Perak dalam hak dan kuasa yang dianugerahkan saya sebagai MB dan ketua DUN.
ii. Kembalikanlah hak rakyat untuk memilih kerajaan baru yang sah dan bermaruah.
iii. Saya mahu mendaulat dan memartabatkan institusi Istana sebagai institusi ulung dan teragung di kacamata rakyat.
iv. Bila DUN dibubarkan, rakyat akan lihat bahawa Tuanku cukup adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sekali gus rakyat akan menjulang dan menghormati institusi Istana kerana mengembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula. Ini Keadilan yang kita laung-laungkan.
v. Saya ajak DYMM Tuanku Sultan meredhai dan bersyukur di atas anugerah Ilahi dalam sambutan Jubli Perak dengan Allah SWT memanjangkan usia DYMM Tuanku hingga ke 82 tahun. Saya seru agar merealisasikan kesyukuran atas nikmat ini dengan mengembalikan hak rakyat serta pengampunan dari Allah SWT
vi. Saya nyatakan dengan jelas jika Tuanku bubarkan DUN, rakyat akan turut bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kepada Tuanku dan rakyat akan menjulang institusi Istana.
vii. Disebaliknya saya nyatakan bahawa jika hak rakyat ini tidak diberi (dengan tidak membubarkan DUN) maka dikhuatiri rakyat akan menghina dan hilang hormat kepada institusi di Raja dan Tuanku sendiri.
viii. Saya zahirkan kepada DYMM Tuanku dimanakah maruah kerajaan UMNO BN dengan mengambil 3 orang wakil rakyat (Jamaluddin, Kapt Osman dan Hee) sebagai penyokong mereka semata-mata hendakkan simple majoriti, yang mana 2 daripada mereka (Jamaluddin dan Osman) telah dituduh oleh pimpinan UMNO terdahulu dari itu sebagai mengambil rasuah meluluskan projek perumahan di Perak Tengah bernilai RM180juta dan menerima habuan serta sedekah seks (yang mana projek tersebut tidak wujud pun! Sengaja diada-adakan oleh pihak BPR pusat untuk mejatuhkan kerajaan PR). Kedua mereka akan menghadapi perbicaraan di mahkamah session Ipoh pada 10 Feb 2009. Saya juga katakan kepada DYMM Sultan seandainya pertuduhan ke atas mereka lekat, maka apa akan terjadi kepada kerajaan itu kelak. Dan jika pertuduhan itu digugurkan oleh mahkamah, sudah tentu rakyat jelata akan melihat sebagai campurtangan pihak Istana dan ini akan mencemarkan imej dan kedaulatan Istana.
ix. Saya beri maklum bahawa jika dibubarkan DUN Perak seluruh institusi Istana di Malaysia pasti akan mendapat penghormatan tertinggi dikacamata rakyat jelata dan masyarakat dunia dalam dan luar negeri akan turut menghormati DYMM Tuanku. Kekebalan dan kekuasaan diraja telah lama dirobek dan cuba dihapuskan oleh UMNO sewaktu dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Semua institusi kesultanan di Malaysia akan mendapat imej baik dek keputusan bijak dan arif oleh Tuanku.
x. Saya sebut secara verbatim kata-kata DYMM dalam sebuah buku yang Tuanku hadiahkan kepada saya sewaktu menjawat jawatan MB pada bulan Mac 2008 dahulu. Buku berjodol “Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance” (Selected essays and speeches,by HRH Sultan Azlan Shah, edited by Professor Dato’ Seri Visu Sinnadurai, tahun 2004, saya bacakan kepada Tuanku berbunyi, “under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di Pertuan Agong would not withold his consent to a request for the dissolution of Parliament. His role is purely formal”.
Selepas saya baca ayat tersebut sepatah demi sepatah, maka dengan penuh takzim dan lembut ungkap, saya merayu agar Tuanku berpegang dan mengotakan kata-kata Tuanku tersebut. Bahkan saya sebut bahawa buku tersebut dan kata-kata Tuanku di dalamnya menjadi rujukan penghakiman semua negara Commonwealth sebagai suatu peradaban undang-undang yang luhur.
xi. Saya mengingatkan kepada DYMM Tuanku bahawa banyak negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran yang dahulunya ada institusi di Raja, namun apabila keputusan Istana berpihak kepada mana-mana kumpulan dan mengenepikan kehendak hak rakyat, maka kini institusi tersebut telah hilang.
xii. Saya merayu bahawa pada ucapan sambutan Jubli Perak pada 3 Feb 2009, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, ucapan Tuanku, ucapan Raja Muda dan juga ucapan saya telah menitik beratkan soal keadilan, hak rakyat dan good governance. Siaran tersebut telah dibuat liputan langsung oleh TV Bernama dan akhirnya saya dengan penuh rendah diri dengan Nama Allah, memohon kepada DYMM Tuanku agar di bubarkan DUN Perak.
Sebaik-baik sahaja habis saya sebut perkara di atas, DYMM Tuanku telah mengangkat sedikit wajahnya dan melihat saya sambil bertitah, “Saya tidak akan bubarkan DUN dan MB kena letak jawatan”.
Dengan spontan saya terus mengangkat sembah keampunan seraya berkata, “Ampun Tuanku, patik pohon sembah derhaka”.
DYMM Tuanku bangun meninggalkan majlis dan seperti biasa, saya bersalam dengan Tuanku sambil mencium tangan Tuanku dan beredar bersama LA. ( Perbualan saya dengan LA selepas insiden ini akan saya lakarkan sedikit masa lagi).
Maka bermulalah suatu cetusan krisis perlembagaan (Constitutional Crisis) yang amat menyedihkan sehingga kini. Kesemuanya ini berlaku oleh kerana kebiadaban UMNO BN pimpinan Najib altantuya memperkakaskan SPR yang enggan mengisytiharkan PRK di DUN Behrang dan Cgkt Jering dan seterusnya rampasan kuasa ikut pintu belakang oleh Najib altantuya pimpinan UMNO BN. Ini tindakan tidak bermoral UMNO yang merampas hak rakyat.
Kini kenyataan-kenyatan dari pimpinan UMNO yang menyanggah dan mengecam hebat tindakan jahat Najib altantuya membuat rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, seperti dari Tengku Razaleigh, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan ramai pakar perlembagaan seperti Dr Abd Aziz Bari dari UIAM, menyatakan bahawa saya masih MB yang sah disegi undang-undang dan kes seperti ini pernah terjadi kepada Almarhum Sultan Idris pada tahun 1974, yang mana almarhum Sultan tidak boleh menyuruh atau memecat MB ketika itu Allahyarham Tan Seri Ghazali Jawi (bapa YB Tajol Rosli). Tuanku terpaksa bernazar untuk menyimpan misai dan janggut selagi MB ketika itu tidak mahu letak jawatan.
Akhirnya Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn terpaksa masuk campur dan mengarahkan MB letak jawatan. MB ikut perintah PM tetapi bersyarat. Lepas itu barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Cerita ini masyhur. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak. Krisis ini berpanjangan………..
NIZAR
Blog Widget by LinkWithin