Friday, December 12, 2008

Maksud Do'a Surah Yaasin

"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Segala Puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang mentadbirkan seluruh alam, puji-pujian yang menyamai segala nikmatNya dan sebanding dengan segala tambahanNya. Ya Allah, bagiMu segala puji sebagaimana yang selayaknya dengan kebesaran zatMu dan dengan kebesaran kekuasaanMU. Wahai Allah, kurniakan kesejahteraan dan keselamatan ke atas keluarga Penghulu kami Nabi Muhammad sallallahu’álaiwassalam dan ke atas keluarga serta sahabat-sahabat baginda sekelian.

Wahai Allah, dengan hak kebenaran Yasiin dan demi Al Quran yang penuh segala hikmah dan demi zat yang telah memiliki membawa risalah kenabian, pemerintahan dan petunjuk kepada jalan Mu yang lurus, dari MU melalui malaikat Jibril yang diturunkan olehMU wahai Yang maha Mulia lagi maha penyayang, dan demi setiap huruf (Al Quran) serta nama-namaMu yang Nyata, wahai zat yang tersembunyi kelembutanMU, yang menghilangkan segala dukacita, yang menghapuskan segala kesusahan bagi semua yang berhutang; wahai zat yang telah menjadikan khazanahnya di antara huruf kaf dan nun, dan yang mengetahui sesuatu yang telah ada dari sebelum adanya.

Aku memohon padaMU Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kedudukan yang baik yang Engkau redhai dan sesungguhnya jadikanlah kami dalam kumpulan yang berbahagia serta mencukupi, dan Engkau permudahkanlah bagi kami semua kehendak kami, ketentuan kami dan kurniakanlah kebaikan bagi kami, kami memohon perlindungan zatMU yang Maha Agung lagi Maha Pengurnia, dan kurniakanlah kepada kami kejayaan yang segera.

Perkenankanlah Ya Allah doa kami dan terimalah olehMU kembalinya kami kelak, masuk dibawah pemeliharaan Engkau dengan rahsia firmanMu bahawa Sesungguhnya apabila Engkau menghendaki sesuatu hanya dengan berkata “kun”, maka jadilah ia. Maha suci Engkau yang dengan kekuasaanMU menguasai segala sesuatu dan kepadaMu semuanya kembali.

Maha suci zat yang menghilangkan segala kehinaan, mahasuci zat yang menghilangkan segala kedukaan, maha suci zat yang memerintahkan, apabila menghendaki sesuatu hanya berkata “kun”maka jadilah ia. Wahai zat yang menghilangkan dukacita, wahai zat yang menghilangkan, hilangkanlah! Hilangkanlah daripada kami segala kesusahan dan dukacita kami. Wahai zat yang hidup! wahai zat yang berdiri dengan sendiri! wahai zat yang Maha Agung lagi Maha Mulia!

Ya ALLAH, kurniakanlah kesejahteraan dan keselamatan ke atas penghulu kami Nabi Muhammad sallallahu’alaiwalasam, dan ke atas keluarga dan sahabat baginda sekelian. Segala puji-pujian tertentu bagi ALLAH, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Amin amin Ya rab bil ‘alamin."

Wednesday, December 10, 2008

10 WASIAT AL-IMAM AS-SYAHID HASAN AL-BANNA

1. Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2. Bacalah Al-Qur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3. Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus_hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4. Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7. Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8. Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan da'wah kita aialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tenteng cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.

Tuesday, December 9, 2008

PAS

Disalin sepenuhnya dari:
Roslan SMS Corner


Tanggal 24 November lalu genaplah 57 tahun usia Parti Islam Se Malaysia atau PAS. Ditubuhkan pada tanggal berkenaan dalam tahun 1951 di Seberang Perai, parti itu yang diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 (Penang) telah melalui transformasi yang tersendiri, dari sebuah parti kecil yang dipandang lekeh oleh penjajah British, kepada sebuah parti yang mampu menang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama dalam tahun 1955 dan kemudiannya menawan dua buah negeri dalam pilihan raya umum pertama Malaya Merdeka pada tahun 1959, dan kini sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang diwakili di setiap pelusuk tanahair dan diiktiraf diperingkat antarabangsa.

PAS telah melalui perubahan nama dalam tempoh lebih lima dekad usianya dari Persatuan Islam Se Malaya (awal penubuhan), ke Persatuan Islam Se Tanah Melayu (30 November 1963) dan kini Parti Islam Se Malaysia (sejak 21 Jun 1977).

Dalam meniti usia yang demikian lama, PAS kini sudah berjaya bertapak dihati rakyat, dikenali dan diakui kehadirannya oleh setiap lapisan masyarakat dalam negara, Cina, Melayu, India dan lain-lain semuanya kenal dan mengetahui darihal PAS. Dengan 3 orang Menteri Besar dan ADUN disetiap negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak PAS kini muncul sebagai satu tenaga politik yang disegani, dan dengan kerjasama politiknya melalui Pakatan Rakyat, PAS dan rakan-rakan kini merupakan alternatif yang sangat berupaya bagi mencabar Barisan Nasional diperingkat Persekutuan.

Tidak ada parti dibarisan pembangkang yang dapat bertahan dan kekal sebagaimana PAS. Parti Negara, Front Sosialis, IMP, MDU, NCP dan lain-lain semuanya berkubur, tetapi PAS terus benafas dan bergerak selari dengan arus kemajuan negara.

Sumber ketahanan PAS yang memungkinkan ia terus bertahan dalam menghadapi serba kekangan, tekanan dan cabaran sudah pastilah kerana berpegang teguh pada Islam yang merupakan dasarnya sejak dari 57 tahun dahulu sehingga ke hari ini. Allahyarham Hj Mohd Amin Yaakub, bekas AJK PAS Pusat (1979-87) di dalam bukunya “Sejarah pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990” menyebut bahawa hukum tertinggi dalam PAS adalah kitabullah dan sunnah rasul serta qiyas dan ijmak. Ini termaktub dan terus kekal dalam perlembagaan PAS sejak tarikh tertubuhnya iaitu pada Fasal 4(1) perlembagaannya dan sejak 1993 beralih ke Fasal 7(1), Cuma beralih pada nombor fasal namun semangat dan pegangannya terus kekal tanpa berubah atau diubah.

Inilah asas yang membezakan PAS dengan parti siyasah lain dalam negara dan inilah juga kekuatan yang terus kekal membawa PAS sepanjang 57 tahun usianya sehingga ke hari ini dan insyallah sampai bila-bila.

Yang berubah adalah pemimpin, apabila ada pimpinan yang mahu membawa PAS lari dari arus Islam ke arus yang lain, termasuklah kebangsaan umpamanya, yang akan tergelincir keluar bukanlah parti tetapi pemimpin itu sendiri. PAS pernah melihat Presidennya, Setiausaha Agungnya dan pimpinan lain diberbagai peringkat lari meninggalkan PAS, namun parti ini terus kekal digantikan dengan pemimpin yang baru.

Presiden atau ketika itu Yang Dipertua Agung PAS yang pertama adalah Tuan Hj Ahmad Puad Hassan (1951-54) yang kemudiannya meninggalkan PAS kerana mahu bersama Dato Onn. Kemudiannya digantikan Dr Hj Abbas Illias (1954-56). Diikuti Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy (1956-66), Dato Asri Muda (1966-82) yang meninggalkan PAS untuk menubuhkan parti baru Hamim dan kemudiannya menyertai Umno, Tuan Hj Yusoff Rawa (1982-89), Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor (1989-2003), dan kini Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

PAS merupakan parti Islam yang meneruskan perjuangan parti Islam yang pertama di negara ini, iaitu Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. PAS bukan hanya membawa dasar perjuangan parti ini malah menurut John Funston, pimpinan terkanan PAS pun ketika itu terdiri dari pimpinan Hizbul Muslimin belaka.

Demikianlah PAS jatuh bangun, menang dan kalah, bertahan menghadapi cabaran dan pancaroba sehinggakan terdapat usaha menggugurkan “Islam” yang ada pada namanya, namun PAS terus kekal dan hari ini mencecah usia 57 tahun.

Inilah PAS, Parti Islam, yang telah berjaya melahirkan pimpinan yang dikagumi rakyat, pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah, segalanya lantaran berpegang teguh pada Islam yang diperjuangkannya. Darah dan airmata mereka yang terdahulu telah ditumpahkan ke bumi bagi melahirkan PAS yang ada yang kita warisi pada hari ini. Oleh itu berpijak pada bumi yang nyata, junjuglah dasar dan prinsip perjuangan yang sama-sama kita pertahankan ini. Ada diantara kita yang bertarung awal atas gelanggang PAS ini sudah tiada bersama kita, malah ada yang ditemani oleh burung-burung hijau di syurga menunggu kita, janganlah kita persiakan apa yang telah dibina ini.

Bahawasanya dengan sesungguhnya adalah disiytiharkan demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesame manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE MALAYSIA”, demikianlah mukaddimah perlembagaan PAS, sama-samalah kita pertahan dan pejruangkannya.

Al-Fatihah kepada mereka yang telah mendahului kita, Al-Fatihah.
(* Sang Saka Merah Putih dengan bulatan hijau dipenjuru atas sebelah kirinya di atas adalah bendera resmi PAS, asalnya dengan kalimah ALLAH dan MUHAMMAD tetapi digugurkan atas arahan kerajaan)
Blog Widget by LinkWithin