Saturday, October 11, 2008

Tazkirah Syawal

Muslimat yang dirahmati Allah,
Berlalulah sudah Ramadhan, sebulan berpuasa, beribadah dengan penuh tawadhu'. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai amal soleh.
Di sini izinkan saya terbitkan kembali satu artikel yang ditulis oleh Fahri Abdillah Al Masri;

"Bulan Ramadan lalu, ada beberapa buah program televisyen popular yang mendapat tempat di hati peminat, seperti Tanyalah Ustaz, Syahadah, As-Salam USA, Kembara Ramadan, Jejak Rasul, Al-Risaalah dan beberapa rancangan lagi.
Dalam banyak-banyak program tv itu, antara yang menarik perhatian saya ialah program Tanyalah Ustaz. Daripada persoalan yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada soalan yang paling sukar, rumit telah cuba dijawab oleh para penceramah dan tetamu undangan tersebut.
Mungkin bagi sesetengah orang, soalan-soalan yang mudah itu sangat remeh. Tetapi bagi sesetengah orang, persoalan yang remeh itu amat besar bagi mereka. Kalau persoalan itu terjawab, maka lapanglah dada mereka untuk meneruskan amalan.
Selagi mana batu persoalan itu masih belum dipecahkan, nescaya penonton tidak rasakan keseronokan dalam beramal. Bayangkan kalau pertanyaan mereka masih belum terjawab, maka akan berterusanlah mereka beramal dalam keadaan resah gelisah.
Misalnya, ada seorang wanita yang bertanya adakah batal solatnya jika dia membuat tiga gerakan sepanjang solat terawih? Lalu dijawab ustaz, bahawa yang dimaksudkan dengan gerakan tiga kali yang membatalkan solat itu adalah khusus terhadap pergerakan anggota yang membabitkan pergerakan yang keras dan jelas kelihatan.
Sekadar gerakan kecil-kecilan, maka hal itu bukanlah membatalkan solat. Maka, puaslah hati wanita itu untuk beramal sebagai biasa dalam menunaikan solat terawih itu.
Sementara itu, ada pula seorang wanita yang meminta pandangan mengenai pengambilan pil bagi menghentikan haidh. Tujuannya ialah supaya dia dapat meneruskan puasa seperti biasa. Mungkin, wanita itu mahu mengelak qada puasa.
Saya sendiri sudah lupa apa jawapan ustaz itu. Namun, yang jelas pada fikiran saya ialah, ustaz itu tidak menggalakkan amalan tersebut. Huraian lanjutnya tidaklah saya pasti.
Kalau saya berada di tempat ustaz tersebut, maka kemungkinan besar saya cuba mencari jalan falsafah untuk menjawabnya. Jawapannya ringkasnya lebih kurang begini ...
Islam agama fitrah
Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama fitrah. Dan puasa adalah di antara amalan yang akan menuntun jiwa manusia ke arah sifat kemanusiaan (fitrah) itu.
Kesemulajadian, sifat asal dan tabiat, fizikal dan mental, rohani dan jasmani manusia itu adalah fitrah. Insan dibekalkan dengan sifat yang sebenarnya tidak menghancurkan alam ini. Jika insan itu menjadi perosak, maka dia meninggalkan fitrah kejadian asalnya.
Kepada kaum Hawa, Allah membekalkan kepada mereka satu kitaran putaran haidh yang melengkapkan kewanitaan. Kewanitaan adalah sebahagian daripada belahan kemanusiaan (fitrah). Selesai berpuasa, kita akan menyambut Aidil Fitri (kembali kepada fitrah).
Syahadan, tidakkah tindakan memakan pil guna menyekat kelancaran kitaran haidh telah menghalang salah satu fitrah asal kejadian seseorang wanita yang normal?
Bagaimanapun, kita tidak akan mengutarakan persoalan hukum hakam di sini melainkan hanya ingin mengingatkan falsafah puasa sebagai amalan atau alat untuk mengembalikan jiwa manusia agar kembali menemui tabiatnya yang asal.
Banyakkan dialog hukum hakam secara langsung
Kembali kepada topik bualan asal yang berkisarkan dakwah perlu dibawa keluar daripada masjid, maka rasanya menjadi suatu keperluan dalam kalangan stesen penyiaran, saluran tv memperbanyak acara soal jawab secara dua hala melalui telefon, sms dan mel-e seperti mana program Tanyalah Ustaz itu.
Melalui acara secara langsung, bualan dua hala seperti Tanyalah Ustaz itu, kita nampak kesannya lebih kuat berbanding soalan-soalan yang dijawab melalui mel-e setiap minggu di dada akhbar. Tempoh menjawab soalan-soalan itu terlalu lama di akhbar.
Sama a kita setuju atau tidak, kita harus akui bahawa kadar celik hukum dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam ini berada pada tahap yang rendah.
Malangnya, golongan ini juga kurang membaca dan mereka tak tahu apakah bahan-bahan bacaan yang perlu dibaca. Selain itu, tidak ramai juga yang suka ke masjid, mendengar isi ceramah dan menghadiri sesi soal jawab tentang hukum hakam dalam masalah feqah.
Realitinya, ramai khalayak yang suka menonton tv. Jadi, saluran tv sememangnya saluran yang amat baik untuk mengasuh dan mendidik masyarakat kita melalui acara bual bicara seperti rancangan Tanyalah Ustaz itu.
Kebanyakan program seperti Halaqah, Forum Hal Ehwal Islam, al-Kulliyyah dan lainnya adalah bersifat sehala di mana hanya ustaz, agamawan, penceramah dan pendakwah saja yang memainkan peranannya untuk mempersembahkan idea.
Tetapi, ini tidaklah bermaksud rancangan itu kurang bagus. Malah ia perlu diteruskan dan seharusnya dikembangkan lagi dengan membanyakkan serta mempelbagaikan rancangan dakwah yang bersifat dua hala (sesi soal jawab) itu.
Ketika sedang asyik berjuang bagi menegakkan Negara Islam, maka jangan lupa bebanan tugas untuk mendidik insan hingga mereka terus beramal dengan sempurna. Amalan yang sempurna adalah amalan yang dilakukan tanpa wujud sebarang keraguan.
Dan amalan yang bersih daripada sebarang keraguan itu tercapai apabila setiap kekeruhan pertanyaan tentang selok-belok amalan itu dapat dijernihkan dengan segala jawapan.
Itu baru hal hukum-hakam sekitar persoalan solat terawih, amalan puasa, haidh dan nifas. Kita lihat masih ramai lagi masyarakat Muslim yang belum beres soal-soal kecil ini. Jadi, agak-agaknya, pertanyaan berhubung feqah Negara Islam sudah beres atau belum?
Kalau masih bersarang keraguan tentang feqah Negara Islam dalam hati dan fikiran orang Islam sendiri, apakah mudah laluan ke arah pembinaan Negara Islam di Malaysia di mana rakyatnya berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, berjalur fahaman dan ideologi?
_

No comments:

Blog Widget by LinkWithin