Wednesday, November 26, 2008
Menutup Aurat Mengikut Syara'
Tuntutan menutup aurat adalah perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ini bermakna Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mewajibkan lelaki maupun wanita untuk menutup aurat mengikut cara-caranya. Jika menutup aurat merupakan suatu ketaatan kepada perintahNya maka jika memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan kepada perintahNya.
Secara ringkasnya aurat wanita di hadapan lelaki yang bukan mahramnya adalah sepertimana dalam sembahyang iaitu yang boleh kelihatan hanyalah muka dan kedua tapak tangan, manakala seluruh badan merupakan aurat yang wajib ditutup. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud
"Wahai Nabi-nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian adalah lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani."
Ini jelas menunjukkan bahawa pakaian wanita yang dipakai ketika keluar hendaklah labuh dan menutup seluruh tubuh badannya.
Manakala Hadith yang diriwayatkan oleh 'Aisyah Radiayallahhu anha yang bermaksud;
"Bahawa Asma' Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Sallallahhu 'Alaihi Wassalam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Sallallahhu 'Alaihi Wassalam berpaling daripadanya. Baginda bersabda; 'wahai Asma', sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haid (baligh) tidak boleh dilihat padanya kecuali ini...dan ini...(sambil) Rasulullah Sallallahhu 'Alaihi Wassalam menunjukkan muka dan kedua tapak tangan Baginda.'"
(Hadith Riwayat Abu Daud).
Berdasarkan 2 dalil di atas panduan menutup aurat wanita mengikut syara' ialah:
1. Pakaian yang longgar - bukan pakaian yang sempit menampakkan susuk tubuh badan.
2. Pakaian yang labuh menutup seluruh aurat - bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.
3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat - bukan nipi atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang tubuh dari luar.
Hakikatnya, menutup aurat ini banyak hikmahnya khususnya bagi wanita, antaranya;
1. Wanita itu dikenal sebagai perempuan yang baik-baik.
2. Dengan berpakaian yang demikian mereka tidak diganggu.
3. Secara tidak langsung pakaian menutup aurat dan sopan menghindari fitnah, pandangan jahat, perkara buruk seperti kes rogol.
Oleh itu menutup aurat adalah merupakan suatu nikmat yang wajib disyukuri iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini dengan betul mengikut syara' dan bukan kerana fesyen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment