Saturday, March 28, 2009

Krisis Perak: Dari pening menjadi migrain

Jumaat, 27 Mac 2009 04:53

Dalam artikel yang lalu (rujuk kolum 'Terbaik Dari Harakah'), saya telah mengulas bagaimana Umno begitu pening dimainkan oleh speaker Perak, V. Sivakumar. Meskipun pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk mengganggu tugas V. Sivakumar namun sehingga kini Umno masih belum berjaya. Satu persatu rancangan Umno digagalkan oleh V. Sivakumar.

Kalau Umno masih belum hilang pening dimainkan oleh Sivakumar kini pening Umno bertukar kepada migrain. Kenapa? Kerana hasrat Umno untuk mendapatkan perintah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bagi pihaknya bukan sahaja ditolak oleh Mahkamah, tetapi kelima-lima Hakim sebulat suara menyatakan bahawa tindakan Umno merujuk kes Nizar lwn Zambry terus ke Mahkamah Persekutuan adalah melanggar undang-undang.

Untuk manfaat para pembaca saya akan cuba menerangkan serba ringkas apa yang berlaku di atas kes Mahkamah antara Nizar dan Zambry.

Seperti mana kita tahu Nizar telah memfailkan Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan antara lain perintah deklarasi bahawa beliau ialah dan pada setiap masa material dan masih Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan.

Usul tidak percaya

Perintah tersebut dipohon kerana berdasarkan tafsiran Fasal XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah jelas bahawa dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan ingin, dan telah member nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dan tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak dan juga tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterima pakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar Negeri Perak dan akhirnya tidak tidak terdapat juga perletakan jawatan Menteri Besar Perak, maka Nizar adalah masih Menteri Besar Perak yang sah.

Di dalam undang-undang mana-mana permohonan semakan kehakiman ianya memerlukan kebenaran Mahkamah. Semasa peringkat untuk mendapatkan kebenaran, pihak pemohon hendaklah menyerahkan permohonannya kepada Peguam Negara sahaja. Dalam konteks kes Nizar, beliau hanya perlu menyerahkan permohonannya kepada Peguam Negara. Nizar tidak perlu serahkan permohonannya kepada Zambry (sebagai responden) kerana secara teknikalnya Zambry masih belum dikira sebagai pihak. Oleh itu Zambri atau peguamnya tidak perlu hadir.
Pendengaran permohonan semakan kehakiman adalah antara Nizar dan Peguam Negara sahaja. Hanya setelah kebenaran diberikan mahkamah barulah Nizar kena serahkan permohonannya kepada Zambry dan barulah ketika itu Zambry boleh dikatakan sebagai pihak.

Apa yang berlaku semasa pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman, pihak hakim telah bersetuju dengan pihak Peguam Negara bahawa kes Nizar sepatutnya dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan. Bagi para peguam tindakan Peguam Negara dibaca sebagai satu tindakan 'short cut' untuk menyelesaikan kes ini dengan segera.

Peguam Nizar tidak bersetuju kes dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan kerana undang-undang tidak membenarkan Mahkamah Tinggi melakukan perkara tersebut.
Berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak pihak Mahkamah tidak boleh merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan. Malangnya Hakim Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujah Peguam Negara bahawa kes tersebut boleh dirujuk ke Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.

Peguam Negara tidak betul

Peguam Nizar berhujah bahawa hujah Peguam Negara adalah tidak betul kerana Seksyen 84 menyentuh tentang kes di mana Mahkamah Tinggi boleh merujuk isu penafsiran Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan. Namun Perlembagaan di bawah Seksyen 84 merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan bukan Perlembagaan Negeri.

Hujah peguam Nizar kuat dan jelas tapi Hakim tidak ikut hujah yang kuat dan jelas sebaliknya setuju dengan hujah Peguam Negara yang kabur dan lemah.

Peguam Nizar yang tidak bersetuju dengan keputusan Hakim tersebut telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Malangnya Mahkamah Rayuan tidak mahu ikut hujah kuat dan jelas peguam Nizar tetapi lebih selesa mengikut hujah Peguam Negara yang lemah dan kabur tersebut. Maka pada hari Jumaat lalu Mahkamah Rayuan menolak rayuan Nizar.

Sementara itu rujukan ke Mahkamah Persekutuan ditetapkan pada hari isnin. Peguam Nizar membuat bantahan awal. Pada hari Isnin itu para peguam Nizar telah pergi ke Mahkamah Persekutuan dengan perasaan berdebar-debar. Jika Mahkamah Persekutuan tidak menerima hujah kami, maka kami melihat perjuangan Nizar di mahkamah mungkin berakhir di situ pada hari itu.

Kami juga dapat rasakan betapa pasukan peguam Umno dan Peguam Negara sendiri bersungguh mahu kes Nizar lwn Zambry diputuskan hari itu. Sekiranya Mahkamah Persekutuan memutuskan memihak kepada mereka maka Nizar tidak boleh lagi merayu ke Mahkamah yang lain kerana Mahkamah Persekutuan adalah Mahkamah tertinggi di negara ini.
Zambry sendiri buat pertama kali hadir di Mahkamah. Mungkin beliau amat yakin akan disahkan sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah pada hari itu.

Peguam Nizar yang diketuai oleh Haji Sulaiman dengan tenang dan bergaya berhujah. Hujahnya amat jelas dan terang. Peguam Negara dan peguam Umno kelihatan sukar dan berbelit-belit ingin menjawab hujah peguam Nizar.

Setelah mendengar hujah, mahkamah berhenti rehat lebih kurang setengah jam. Kira-kira jam 2 petang kelima-lima hakim keluar ke galeri Mahkamah dan memutuskan antara lain berikut:
"Meskipun kami ingin sangat nak memutuskan kes ini dengan segera, namun kami terikat dengan undang-undang. Kami mendapati tindakan Mahkamah Tinggi merujuk kes ini ke Mahkamah Persekutuan adalah tidak betul dan melanggar undang-undang. Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman tidak boleh digunakan kerana kes ini melibatkan penafsiran Perlembagaan Negeri Perak bukannya Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu kes ini kami perintahkan untuk kembali ke Mahkamah Tinggi."

Peguam Umno nampak terkejut. Zambry dah keluar lebih awal. Harapan Umno mahukan kes ini disegerakan tidak kesampaian. Sehingga 15 Mei ini jika Dun Perak tidak dapat bersidang, ia akan terbubar secara automatik.

Itulah sebabnya saya kata Umno kini telah bertukar dari pening kepada migrain. Untuk Umno saya ingin nyatakan ada ubatnya. Bubarkan saja Dun. Insya Allah baik pening dan migrain kamu!

Mohamed Hanipa Maidin

1 comment:

Prof. Era Pasca said...

salam semua...
terdapat pilihan raya Umum MALAYSIA dan bijaknya YAB Nizar, antara rahmat dan hikmah penduduk bukit gantang
link nye:

http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/03/pilihan-raya-malaysia-bijaknya-yab-ds.html

Blog Widget by LinkWithin